Tuesday, August 23, 2011

Checklist

Ada beberapa persoalan yang perlu kita tanya pada diri sebelum memilih seseorang sebagai pasangan hidup. Islam menegaskan pilihan hendaklah berasaskan kepada yang kuat berpegang kepada agama dan berakhlak mulia serta mempastikan samada sudah dipinang atau belum dan berbagai-bagai lagi.

Rasulullah saw bersabda yang maksudnya:

"Janganlah kamu kahwin dengan perempuan kerana kecantikannya, kerana boleh jadi mereka akan merugikan. Dan jangan kerana hartanya, kerana boleh jadi mereka akan mendurhakai. tetapi kahwinlah kerana agamanya. Sesungguhnya seorang budak perempuan hitam yang pecah hidungnya tapi beragama adalah lebih baik."

Baginda bersabda lagi yang maksudnya:

"Barangsiapa berkahwin akan perempuan kerana hartanya dan elok rupanya nescaya diharamkan akan hartanya dan elok rupanya yakni ditegahkan akan hartanya dan eloknya, dan barangsiapa yang berkahwin akan dia kerana agamanya nescaya diberi rezeki oleh Allah swt akan dia akan hartanya dan eloknya."

Dari hadis di atas dapatlah difahami bahawa Rasulullah saw menegaskan kepada kaum lelaki supaya memilih calun isteri orang yang beragama serta berakhlak mulia, kerana bila isteri itu kuat beribadah akan membuahkan akhlak yang mulia maka rezeki dan hartanya dimurahkan Allah swt.

Tanda-tanda seseorang wanita itu baik maruah dan akhlaknya antaranya ialah:

1. Berakhlak dengan Allah seperti tekun dan bersungguh-sungguh beribadah. Sabar dalam menempuh kesusahan (ujian) daripada Allah dan dalam mengerjakan perintah-perintahnya, sentiasa bersyukur dengan kurniaan Allah, tenang dalam menerima ketentuan Allah serta banyak mengingati Allah swt.

2. Tumpuan hatinya ialah untuk memperbaiki akhlak, mengurus rumahtangga dengan baik, memelihara ibadah dan menjaga hubungan dengan manusia.

3. Berakhlak dengan ibubapa, memuliakan mereka serta membantu dan menyenangkan mereka. Sentiasa berusaha mengajak keluarga kepada kebaikan dan keredhaan Allah swt.

4. Baik pergaulannya sesama rakan, jiran dan masyarakat sekeliling. Tidak mengganggu dan menyakiti mereka, malah membantu dan memudahkan mereka dengan apa cara yang termampu.

5. Mentaati suaminya, redha dengan pemberian suami, melayan suami dengan baik, bersopan santun dalam segala percakapan dan tindakan, menjaga aurat atau kehormatan diri dan memelihara maruah suami